Setiausaha Agung parti, Datuk Marzuki Yahya berkata, semua ketua bahagian Bersatu sebulat suara berdiri teguh di belakang Pengerusi parti itu walaupun ada usaha untuk menjatuhkan kepimpinan beliau.

“Walau apa juga kecaman terhadap beliau, kami akan berdiri teguh di belakang Tun M.

“Kami yakin kepada beliau kerana Malaysia perlu diberi keutamaan dan kita harus memberi peluang kepada beliau membina semula negara, itu yang lebih penting sekarang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa menghadiri Majlis Makan Malam dan Santai bersama Ketua-ketua Bahagian Bersatu 2019 di A’Famosa Resort di sini malam tadi.

Majlis bertemakan ‘Perjuangan yang belum selesai’ itu dihadiri kira-kira 100 ketua bahagian parti.

Yang turut hadir, Naib Presiden parti, Tan Sri Ab. Rashid Ab. Rahman; Majlis Pimpinan Tertinggi parti, Datuk Seri Mohd. Redzuan Yusof dan Datuk Mohd. Rafiq Naizamohideen serta Menteri Pendidikan yang juga Ahli Parlimen Bersatu Simpang Renggam, Dr. Maszlee Malik.

Menurut Marzuki, krisis yang berlaku membabitkan Perdana Menteri dengan Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim ketika ini juga tidak akan sesekali melemahkan semangat ahli parti.

Dalam isu hubungan Tun M dengan Istana Johor itu, beliau berkata, pihaknya tetap berdiri teguh di belakang Dr. Mahathir dan TMJ berhak untuk mengeluarkan kenyataan kerana perkara itu tidak boleh dihalang.

Berhubung spekulasi hubungan dingin antara Dr. Mahathir dengan Presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin pula, Marzuki menegaskan tidak wujud sebarang kem dalam parti itu.

“Kami menyokong kepimpinan Tun M, Tan Sri Muhyiddin dan Timbalan Presiden parti, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan ini menunjukkan parti ini benar-benar bersatu,” katanya. - UTUSAN ONLINE