Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, kelonggaran itu perlu supaya pendedahan dapat diberikan kepada pengundi muda agar mereka faham sistem politik dan perjalanan demokrasi di negara ini.

Beliau berkata, ia bukan menjadi cabaran dan tugas berat kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN) sahaja bahkan parti-parti lain kerana tahap kematangan rendah golongan ini yang kebanyakannya masih belajar di institusi pendidikan.

TIMBALAN Presiden UMNO, Datuk Mohamad Hasan bersalaman dengan sebahagian Pemuda UMNO
TIMBALAN Presiden UMNO, Datuk Mohamad Hasan bersalaman dengan sebahagian Pemuda UMNO ketika menghadiri Persidangan UMNO Bahagian Kota Bharu di Bangunan UMNO negeri di Kota Bharu hari ini. - UTUSAN ONLINE

“Kita tidak tahu sama ada mereka faham sistem demokrasi atau tidak, jadi macam mana (cara) kita nak dedahkan mereka itu perlu difikir secara efektif.

“Kita akan ada banyak kerja selepas ini untuk dapatkan capaian kepada mereka pertamanya bagi mendekati dan keduanya untuk beri penerangan.

“Pengundi yang dahulunya bermula dari umur 21 tahun ke atas itu sudah matang dan tahu sikit tapi yang berumur 18 tahun masih lagi di kolej dan institut pengajian, (jadi) tak guna kita kurangkan umur mengundi tapi mereka ini tidak dibenarkan mendapat pendedahan poitik,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Persidangan UMNO Bahagian Kota Bharu di Bangunan UMNO negeri hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub dan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri yang juga Ketua UMNO Bahagian Kota Bharu, Tan Sri Mohamad Fatmi Che Salleh.

Persidangan itu turut diserikan dengan kehadiran tetamu istimewa Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan dan rombongannya termasuklah Ahli Dewan Undangan negeri (Adun) Bunut Payong, Datuk Dr Ramli Mamat dan Ahli Dewan Undangan negeri (Adun) Tanjung Mas, Rohani Ibrahim.

Mohamad diminta mengulas kenyataan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dalam satu wacana semalam bahawa kira-kira 500,000 penambahan pengundi bakal berlaku setiap tahun selepas pindaan Rang Undang-undang menurunkan had umur mengundi daripada 21 kepada 18 tahun diluluskan kelak.

Sementara itu, ketika ditanya keyakinan UMNO dengan penerimaan anak muda kepada parti itu, Mohamad berkata, tidak ada jaminan dalam politik tetapi gerak kerja menarik anak muda mesti sentiasa dilakukan.

“Politik ini tidak menjamin apa-apa, politik berkemungkinan bermacam-macam, jadi kita mesti ambil langkah (bersesuaian) dan ambil kira kemungkinan anak-anak muda bersama dengan kita atau tidak.

“Dari segi jentera kita tidak ada masalah, tapi kalau ada jentera sahaja tidak digerakkan tak berguna juga, jentera mesti bergerak ke arah hala tuju yang betul,” katanya. - UTUSAN ONLINE