Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah menyifatkan, Ahmad Zahid telah membayangkan hasrat untuk membaiki parti tersebut menerusi ucapan dasar pertamanya sebagai Presiden, malam tadi.

Justeru, Tengku Razaleigh berkata, setiap ahli UMNO perlu berganding bahu membantu merealisasikan hasrat itu termasuk mempunyai keyakinan tinggi berjuang demi UMNO dan orang Melayu.

"Walau apa pun penilaian kita terhadap apa yang diucapkan Ahmad Zahid, kita kena terima hakikat bahawa UMNO sedang menghadapi masalah sama ada dalaman atau luaran.

"Beliau sudah membayangkan hasrat nak baiki. Jadi kita kena bagi dia peluang dan cuba bantu. Kalau beliau tidak berupaya, kita ada pilihan lain," katanya ketika ditemui dalam Perhimpunan Agung UMNO di sini hari ini.

Beliau mengulas mengenai kritikan bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin yang mengatakan ucapan dasar Ahmad Zahid masih tidak memberi hala tuju jelas parti itu. - UTUSAN ONLINE