Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin berkata, tindakan Farhash Wafa Salvador dalam ucapannya mungkin disebabkan tidak mendapat perkembangan terbaharu berikutan berada dalam tahanan reman.

“Farhash waktu reman itu dia tertutup dengan maklumat yang sudah berlaku diluar, jadi dia mungkin tidak dapat tahu perkembangan terbaharu.

“Jadi saya simpati kepada dia kerana masih lagi terbelenggu dengan tanggapan dia. Saya harap sekarang ini dia tahu apa yang berlaku dan dapat memberi maklum balas yang lebih waras,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran FundMyHome+Skim Depositku di sini hari ini.

Ketika ditanya sama ada Setiausaha Politik Presiden PKR itu wajar dikenakan tindakan oleh Lembaga Disiplin parti, Zuraida berkata perkara itu bergantung kepada jawapan balas yang akan diberikan beliau kelak.

“Kita lihat dahulu jawapan dia, sebab dia kata bingung sedikit berada di dalam (reman) , jadi bila keluar belum dapat stabilkan lagi, mungkin sekarang sudah stabil, jadi kita beri dia peluang (penjelasan),” katanya.

Ditanya gesaan Farhash supaya polis menahan Mohamed Azmin, Zuraida berkata, menjadi tugas polis untuk menahan sesiapa yang didapati bersalah.

“Itu kerja polis untuk tangkap siapa, kalau polis kata salah, tangkaplah , kalau tak (salah) hendak tangkap buat apa,” katanya.

Semalam, Farhash Wafa Salvador ketika berucap dihadapan puluhan penyokongnya Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, melaungkan ‘Azmin semburit’ dan ‘Anwar PM Kelapan’, selepas dibebaskan daripada tahanan polis.

Dia dibebaskan dengan jaminan polis bersama seorang lagi individu yang ditahan bersamanya di Masai, Johor selepas tempoh tahanan reman berakhir semalam.

Kedua-dua mereka ditahan pada 16 Julai lalu bagi membantu siasatan berhubung video lucah yang turut mengaitkan Azmin.

Turut dibebaskan semalam adalah Haziq Abdullah Abdul Aziz yang sebelum ini mengaku sebagai lelaki dalam video lucah berkenaan, selepas ditahan bersama lima individu dalam serbuan ke atas beberapa lokasi di sekitar Lembah Klang pada 14 Julai lalu.