Hanya beberapa nama besar sahaja yang tinggal seperti Datuk Seri Bung Moktar Radin dan Datuk Yakub Khan. Kedua-duanya telah diumumkan oleh Presiden parti, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebagai Pengerusi serta Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah yang baharu.

Bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman dilaporkan tetap bersama UMNO, namun difahamkan anak beliau, Yamani Hafiz Musa yang juga Ahli Parlimen Sipitang membuat keputusan meninggalkan parti.

Datuk Seri Salleh Said Keruak, bekas Bendahari UMNO yang sebelum ini pendokong kuat kepe­mimpinan parti juga memilih untuk meninggalkan parti.

Terkejut? Inilah lumrah di dalam politik. Kehila­ng­an kuasa memerintah itu bukannya mudah diterima oleh segelintir pemimpin, lebih-lebih lagi apabila melibatkan soal peruntukan dan kewangan untuk membantu kawasan masing-masing, sudah tentu perlu selari dengan kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan.

Namun begitu, persoal­an yang paling utama ialah sama ada gerakan meninggalkan UMNO secara beramai-ramai ini merupakan petanda kepada terkubur­nya parti itu di Sabah?

Kalau diikut logik akal, dengan ramai yang keluar meninggalkan parti, apa lagi yang tinggal?

Walau bagaimanapun perlu diingat bahawa pemimpin itu datang dan pergi. Itu adalah lumrah dalam politik.

Mungkin daripada tindakan keluar beramai-ramai ini, akan muncul barisan kepemimpinan berwajah baharu yang lebih segar untuk mendampingi serta memperjuang nasib rakyat Sabah. Mungkin.

Yang lebih utama Ahmad Zahid serta kepemimpinan UMNO Pusat perlulah menyokong proses memulihkan UMNO Sabah. Jangan dibiarkan mereka terkontang-kan­ting seperti dizahirkan sebahagian kepemimpinannya yang kecewa apabila ‘diabaikan’ oleh UMNO pusat.

Sekiranya Ahmad Zahid serta UMNO fokus dan benar-benar mendengar kepada isu-isu disuarakan kepemimpinan parti di Sabah yang tinggal ketika ini, tidak mustahil mereka boleh bangkit semula.

Jadi, buat masa ini, adalah terlalu awal untuk me­ngatakan UMNO Sabah telah terkubur. Ini baru permulaan, jangan cepat mengalah.