Menerusi muat naik dalam blognya pagi ini, Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu memberitahu, beliau mempelajari Jawi ketika kali pertama ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada tahun 1969.

"Mungkin persoalan timbul adakah mereka yang mempelajari tulisan Jawi akan mengkhianati kaum, bahasa dan budaya Cina? Bagi saya jawapannya ialah negatif (tidak berlaku).

"Semasa saya kali pertama ditahan di bawah ISA pada tahun 1969, saya mengajar diri saya tentang tulisan Jawi sewaktu dalam tahanan.

"Ia tidak membuatkan saya kurang Cina, dan mungkin telah membantu menjadikan saya lebih rakyat Malaysia," katanya dalam blog blog.limkitsiang.com.

Isu pengenalan tulisan khat atau Jawi mendapat bantahan ramai pemimpin DAP serta dua pertubuhan mewakili pendidikan Cina, Gabungan Jawatankuasa Sekolah Cina (Dong Zong) dan Gabungan Persatuan Guru-guru Sekolah Cina Malaysia (Jiao Zong).

Namun kelmarin, Kementerian Pendidikan menegaskan untuk terus melaksanakan pengenalan tulisan khat dalam mata pelajaran Bahasa Melayu Tahun 4 pada tahun 2020.

Semalam pula, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengulangi komitmen untuk meneruskan langkah tersebut dengan menganggap tentangan yang diterima hanya daripada segelintir pemimpin DAP. - UTUSAN ONLINE