Pengerusi Bersatu, Tun Dr. Mahathir Mohamad bagaimanapun berkata, pelawaan berkenaan hanya untuk pemimpin yang tidak mempunyai masalah.

“Kalau mereka yang ada kes mahkamah kita tidak dapat terima, hanya mereka yang tidak terlibat sahaja diterima,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Terdahulu, Dr. Mahathir mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) PPBM di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini, hari ini.

Ditanya mengenai jumlah pemimpin UMNO yang dijangka akan menyertai Bersatu, Dr. Mahathir memaklumkan Bersatu tidak mempunyai sebarang anggaran.

“Kita tidak tahu berapa ramai, di Sabah hampir semua pemimpin UMNO. Ada ahli Parlimen dan juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN),” katanya.

Selain itu katanya, bekas pemimpin UMNO juga turut dibenarkan untuk menjadi calon dalam pemilihan Bersatu pada tahun hadapan.

Sementara itu, Dr. Mahathir berkata, Bersatu juga berpandangan banyak kesalahan yang dilakukan oleh UMNO ketika ini tidak diambil tindakan sewajarnya oleh pihak berkuasa.

“Dahulu semasa saya jadi Presiden UMNO, ada tiga cawangan tidak buat mesyuarat dan parti itu diharamkan. Kita sedar sebelum ini parti kita juga turut diharamkan.

“Sekarang saya nampak seolah-olah, UMNO banyak buat salah tetapi masih diterima dan tidak dibatalkan pendaftaran. Kita tidak desak tetapi hanya beri pendapat,” katanya.-UTUSAN ONLINE