Wakilnya, Maimoon Mustaffa berkata, kerajaan seharusnya melihat potensi peniaga bumiputera dalam bidang perusahaan kecil dan sederhana (PKS) khususnya golongan wanita yang semakin menjadi pesaing kepada peniaga Cina.

“Saya suka menjadikan peniaga di Kelantan dan Terengganu, sebagai contoh peniaga bumiputera yang berjaya dalam diam. Mereka berjaya kerana kemudahan tempat dan tiada penindasan.

“Tetapi di Pulau Pinang, sudahlah tiada tempat, apabila berniaga di te­pi jalan sama se­perti peniaga Cina yang lain, akhirnya peniaga Melayu juga yang menjadi mangsa kerajaan DAP. Mereka akan merobohkan dan me­nyita perniagaan orang Melayu walaupun telah berniaga lebih 10 tahun,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan usul ekonomi pada Perhimpunan Agung Pergerakan Wanita UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), hari ini.

Maimoon yang juga Ketua Wanita UMNO Bahagian Je­lutong, Pulau Pinang berkata, Wanita UMNO tidak mahu dianggap rasis bagaimanapun tinda­kan kerajaan DAP ter­hadap peniaga Me­layu itu jelas bersifat pilih kasih.

Sehubungan itu, katanya, Wanita UMNO mencadangkan kepada kerajaan untuk mentransformasikan bangunan Majlis Amanah Rakyat (Mara) di Jalan Bagan yang kini dilihat tidak ubah seperti ‘gajah putih’ kepada pusat perniagaan Melayu dan bumiputera.

“Alhamdulillah Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bersetuju untuk membina semula bangunan tersebut dan menjadikannya pusat menjual alatan teknologi maklumat yang akan dikenali sebagai Mara Digital iaitu berkonsepkan Plaza Low Yatt.

“Wanita UMNO meminta agar kerajaan BN dapat memperincikan sebaik mungkin untuk memperuntukkan beberapa lot kedai kepada peniaga wanita bumiputera,” katanya.

Beliau berkata, wanita telah memainkan peranan yang besar dalam ekonomi negara dan du­nia malangnya penglibatan wanita dalam ekonomi masih belum mencapai tahap yang boleh dibanggakan.