Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Mohd. Redzuan Yusof berkata, tindak tanduk pihak terbabit yang menentang khat Jawi menunjukkan mereka tidak menghormati keperluan menggunakan bahasa kebangsaan yang termaktub dalam Perlembagaan.

"Bangsa Melayu terlalu berkompromi mengikut kehendak kaum yang terlalu rasis. Sudah tiba masanya bangsa Melayu bangkit mempertahankan budaya Melayu sebelum dimusnahkan pihak terbabit.

"Kita telah terlalu banyak beri muka. Negara lain tidak sebaik macam kita. Sistem pelajaran wajib digunapakai mengikut bahasa rasmi negara itu. Kita tidak begitu...berlembut sahaja.

"Marilah kita sama-sama perkasakan kembali budaya Melayu mengikut perlembagaan," kata Menteri Pembangunan Usahawan itu kepada Utusan Malaysia menerusi aplikasi WhatsApp hari ini. - UTUSAN ONLINE