Menurut Setiausaha Interim Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sarawak, Jaziri Alkaf Suffian, beliau berterima kasih terhadap kerajaan negeri yang mahu memberi peluang terhadap golongan muda dalam agenda memperkasakan kedudukan dan masa depan mereka.

Namun ujarnya, kebanyakan golongan muda di negeri itu mahu diberi peluang terlibat lebih banyak menggubal dasar dan bukan sahaja dari aspek sosial serta ekonomi kerana ramai daripada mereka sudah membuktikan kemampuan dalam dua bidang tersebut.

“Kita boleh lihat ramai anak muda terlibat aktif dalam kegiatan sosial dengan menganggotai mahupun menubuhkan pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sama ada di peringkat negeri mahupun kebangsaan.

“Namun apabila melibatkan penyertaan mereka dalam politik dan penggubalan dasar nampaknya orang muda agak terpinggir. Itu adalah kenyataan yang pahit ditelan tetapi orang muda juga perlu diberi peluang seperti mana diraikan oleh Bersatu dan Pakatan Harapan.

“Bersatu telah meletakkan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman sebagai Menteri Belia dan Sukan manakala PKR mempercayai Amirudin Shaari untuk menjawat jawatan Menteri Besar di negeri paling kaya di Malaysia iaitu Selangor,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg di akhbar-akhbar negeri itu baru-baru ini yang menyatakan akan sampai masanya nanti golongan muda mengambil alih kedudukan mereka dalam mempertahan kepentingan Sarawak.

Tambah Jaziri Alkaf lagi, penglibatan orang muda dalam politik adalah penting terutama di Sarawak kerana mereka adalah pencetus kepada had umur mengundi pada pilihan raya yang diturunkan dari 21 tahun ke 18 tahun.

Katanya, Sarawak bakal berhadapan dengan pilihan raya negeri tidak lama lagi dan had umur 18 tahun ini akan menentukan hala tuju baharu politik di negeri itu kerana ia negeri pertama berhadapan dengan cabaran pengundi muda.

“Dengan pindaan had umur kepada 18 tahun dari 21 tahun sebelum ini akan memberi peluang kepada generasi muda untuk sama-sama menentukan masa hadapan negeri itu malah ia juga selari dengan amalan demokrasi di negara lain menetapkan umur pemilih pada 18 tahun.

“Ini sekali gus mengiktiraf peranan golongan muda maka peranan mereka dalam membuat dasar penting di peringkat negeri juga perlu diiktiraf serta diperkasakan. Pada masa sama bakat anak muda Sarawak juga dapat diketengahkan lebih baik dalam konteks pembangunan nasional negara Malaysia,” kata Jaziri Alkaf. - UTUSAN ONLINE