Seorang wakil rakyat PKR negeri ini, Asrul Nizan Abd. Jalil berkata, langkah tersebut penting memandangkan ia adalah tuduhan berat dan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Santubong itu sendiri telah membuat pengakuan bahawa dia adalah individu di dalam video itu.

Kata Asrul Nizan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sena, Mohamed Azmin perlu mengambil tindakan undang-undang jika mendakwa beliau telah difitnah, sekali gus menyelesaikan segera isu ini.

“Kalau boleh kita tidak mahu isu ini (video seks) berlarutan sehingga agenda sebenar untuk baiki kos sara hidup dan pacu ekonomi negara ke arah lebih baik demi kepentingan rakyat terjejas.

“Azmin perlu saman Haziq kalau dia bukan pelaku dalam video itu. Saman bagi cepat selesai isu ini,” katanya ketika ditemui pada majlis rumah terbuka Aidilfitri Dewan Undangan Negeri (DUN) Sena di Padang Behor di sini hari ini.

Sementara itu, beliau tidak bersetuju dengan dakwaan Mohamed Azmin bahawa penyebaran beberapa klip video seks dikaitkan dengannya itu dilakukan orang dalam parti sendiri.

Katanya, tindakan Timbalan Presiden PKR itu dilihat akan memburukkan lagi keadaan ketika parti sendiri sudah tercemar dengan isu ini.

“Sebaik-baiknya serahkan kepada pihak berkuasa menyiasat kes tersebut,” katanya.

Kelmarin media melaporkan Mohamed Azmin yakin konspirasi untuk mencemar dan menjatuhkannya melalui penyebaran beberapa klip video seks dikaitkan dengannya, dilakukan orang dalam parti sendiri.- UTUSAN ONLINE