Mohamed Azmin yang juga Timbalan Presiden PKR menegaskan, pendirian tersebut adalah seiring pandangan yang pernah dilontarkannya supaya usaha mengembalikan kegemilangan negara dapat direalisasikan dengan segera.

“Dukungan bipartisan terhadap Perdana Menteri merupakan lembaran baru dalam politik Malaysia di mana kepentingan rakyat diberikan keutamaan. Ini telah ditampilkan dalam meluluskan pindaan Perlembagaan yang menurunkan had usia mengundi pilihan raya kepada 18 tahun.

“Sokongan tersebut adalah bukti keyakinan terhadap kepimpinan Dr. Mahathir yang berhemah tinggi sesuai dengan peranannya sebagai negarawan ulung negara,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mohamed Azmin memberitahu, mandat rakyat yang diterima oleh Pakatan Harapan lebih setahun yang lalu memerlukan kestabilan demi melaksanakan reformasi institusi dan langkah-langkah positif untuk memulihkan ekonomi.

Menurut beliau, kejayaan melaksana agenda serampang dua mata ini akan memberikan manfaat kepada semua rakyat tanpa mengira fahaman politik mereka.

Sebagai sebuah negara yang mengamalkan demokrasi, jelasnya, perbezaan politik akan tetap wujud namun setiap perbezaan itu perlu diurus dengan baik demi menjamin kepentingan rakyat.

“Kepimpinan Dr. Mahathir diperlukan untuk menjamin kestabilan, kesinambungan dan ketuntasan (consistency) dasar-dasar Kerajaan bagi merangsang pelaburan, mencipta peluang-peluang pekerjaan serta kekayaan untuk semua.

“Saya yakin kestabilan politik akan menjana keutuhan dasar dan kebijakan negara termasuk konsep ‘shared prosperity’ yang bakal mengembalikan Malaysia sebagai Harimau Asia,” katanya. - UTUSAN ONLINE