Rakyat sebelum ini dikejutkan dengan pembatalan projek infrastruktur berimpak tinggi seperti projek Transit Aliran Massa laluan tiga (MRT3) dan Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) pula dibatalkan bersyarat, iaitu sehingga kerajaan mempunyai kemampuan.

Malah, projek Saluran Gas Paip Trans-Sabah (TSGP) yang memberi jaminan manfaat bekalan tenaga bagi Malaysia turut dibatalkan.

Sehingga kini, kerajaan dilihat masih bermain tarik tali dengan projek kereta api berkelajuan tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR) yang masih dalam peringkat kajian dan pertimbangan kerajaan berikutan melibatkan kos perbelanjaan yang tinggi.

Kesemua projek berkenaan dijangka dibatalkan atas alasan bagi mengurangkan jumlah hutang negara yang kini dikatakan sudah mencecah RM1 trilion.

Namun, kerajaan terlupa bahawa projek-projek berkenaan memberi manfaat kepada rakyat dari sudut pengangkutan awam, logistik, peluang pekerjaan dan akses ekonomi yang lebih lancar serta berkembang untuk negara secara keseluruhannya.

Malah, terdapat pelbagai cadangan atau dasar drastik yang cuba diperkenalkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang dilihat sangat remeh seperti pemakaian kasut hitam di semua sekolah, tandas orang kurang upaya untuk golongan lesbian, gay, biseksual dan transeksual (LGBT), cadangan untuk nelayan menanam nanas di belakang rumah dan banyak lagi.

Terbaharu, Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) mengakui terdapat beberapa projek menaik taraf masjid di negeri berkenaan ditangguhkan selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Yang Dipertuanya, Datuk Abdul Malik Abul Kassim bagaimanapun meminta umat Islam di negeri berkenaan tidak bimbang kerana memberi jaminan projek tersebut akan diteruskan pada masa depan.

Malah, menurut beliau, beberapa projek itu juga sudah diluluskan dengan sebahagian lain masih dalam penelitian dan kerja-kerja menaik taraf akan bermula bergantung kepada kedudukan kewangan.

Sementara di Perak, beberapa projek pembangunan di Bagan Datuk yang diluluskan kerajaan terdahulu telah pun ditangguhkan.

Ahli Dewan Undangan Ne­geri (ADUN) Rungkup di bawah Parlimen Bagan Datuk, Datuk Shahrul Zaman Yahya berharap kerajaan tidak membatalkan projek berkenaan kerana kerja-kerja pembinaannya sudah dijalankan.

Kerajaan Pakatan Harapan tidak seharusnya mengetepikan kehendak dan keperluan rakyat melalui projek-projek yang telah dijalankan kerajaan terdahulu.

Ini kerana kerakusan kerajaan dalam menghentikan projek-projek terdahulu telah menyebabkan rakyat yang akhirnya menjadi korban.