Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR, Datuk Mohd. Rashid Hasnon yang mengakui sedih dengan apa yang berlaku turut berharap Anwar dan Mohamed Azmin berjiwa besar dan kembali bersatu.

Jelas Mohd. Rashid yang turut berada dalam senarai MPP dan ahli Parlimen yang ‘mengkritik’ Anwar, semua ahli PKR cuma mahu sokongan terhadap Anwar sewaktu pergolakan politik negara dahulu dapat diberikan kepada Mohamed Azmin.

“Apa yang terbaik adalah Anwar dan Mohamed Azmin berbincang bagaimana untuk mengukuhkan (hubungan). Persahabatan kedua-duanya harus dikekalkan.

“Hal demikian kerana banyak lagi kerja yang kita perlu bangunkan bersama-sama dalam Pakatan Harapan (PH),” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini hari ini.

Perselisihan antara Anwar dengan Mohamed Azmin dilihat ketara apabila Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu meminta Anwar mencermin diri sendiri dahulu semalam, selepas Anwar berkata beliau wajar meletakkan jawatan sekiranya video seks yang tersebar terbukti tulen.

Anwar hari ini bagaimanapun berkata tidak mengambil hati dengan kenyataan itu dan menganggap Mohamed Azmin mungkin tidak membaca kenyataannya secara penuh.

Pagi ini juga, 27 ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) dan ahli Parlimen PKR mengeluarkan kenyataan secara bersama supaya Anwar mempertahankan Mohamed Azmin dan tidak memintanya meletakkan jawatan. - UTUSAN ONLINE