Timbalan Presiden Pas, Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, kongres berkenaan perlu melibatkan semua pihak tanpa mengira pendirian politik supaya natijahnya lebih objektif.

Katanya, isu kemiskinan mesti dilihat satu perkara yang signifikan di samping memacu negara ke arah sebuah negara maju dan berpendapatan tinggi.

“Kongres kebangsaan bertemakan kemiskinan ini dicadangkan ekoran percanggahan perspektif mengenai statistik kemiskinan yang dinyatakan oleh kerajaan dengan laporan yang disediakan oleh Pelapor Khas Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) Berhubung Kemiskinan Tegar dan Hak Asasi Manusia, Prof. Philip Alston pada 23 Ogos lalu.

“Hal ini juga boleh diselaraskan dengan pelbagai gesaan timbul sebelum ini mengenai semakan semula paras garis kemiskinan dan dasar afirmatif yang telah dipraktikkan sebelum ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Jumaat lalu, Alston dipetik sebagai berkata, situasi kemiskinan di Malaysia jauh lebih buruk daripada yang digambarkan oleh kerajaan di samping menyifatkan kadar kemiskinan negara 0.4 peratus pada 2016 adalah tidak realistik kerana meletakkan penanda aras yang rendah. - UTUSAN ONLINE