Bagaimanapun tegas Amirudin, polis pastinya mempunyai asas tersendiri dalam setiap siasatan mereka dan tiada siapa pun lebih besar daripada undang-undang jika terbukti melakukan kesalahan, apatah lagi seandainya melibatkan penyebaran video tidak senonoh.

“Saya hanya dapat khabar angin dan juga baca laporan berita tetapi sepertimana saya cakap, tiada siapa lebih besar daripada undang-undang. Sesiapa pun yang telah melanggar undang-undang, hatta kesalahan jalan raya sekalipun, harus diambil tindakan.

“Apatah lagi adalah jelas dalam negara kita, menyebarkan bahan-bahan tidak senonoh, apatah lagi bahan tersebut bahan fitnah dan sebagainya, itu adalah tindakan yang kita kena ambil,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Polis dikatakan sedang menyiasat penglibatan seorang ADUN PKR Selangor, susulan beberapa siri tangkapan berkaitan dalang di sebalik penyebaran video seks berkenaan tetapi buat masa ini, tiada mana-mana pihak tampil membuat pengesahan tentang identiti ADUN tersebut.