MOHD. RIJALUDEEN

Wakil Dewan Pemuda Pas Wilayah Persekutuan, Mohd. Rijaludeen Mohd. Anwar berkata, situasi di Mesir dan Indonesia membuktikan kesilapan gerakan Islam tersebut menyebabkan mereka tumbang dan dipergunakan.

Di Malaysia, katanya, iklim politiknya damai dan demokrasi jadi tentunya bukan ancaman bersenjata yang akan merosakkan Pas sebaliknya ancaman yang diimport termasuk menerusi kempen Islamofobia.

“Ahli Pas perlu faham dengan kerangka lebih luas Islamofobia bukan datang dengan senjata tetapi dengan wacana pemikiran.

“Jadi, kita perlu jaga integriti parti dan Pas perlu bersedia menjelaskan gagasan dengan lebih konstruktif kerana masyarakat skeptik dengan cadangan dan slogan sebaliknya mahu maklumat dan ilmu yang jelas.

“Oleh itu kita ingin mencadangkan diwujudkan organisasi yang fokus dan serius dalam memberi cadangan termasuk menganjurkan wacana global dan lokal di samping memanfaatkan hubungan serta jaringan sedia ada dengan gerakan Islam seluruh dunia agar kelemahan dapat diatasi,” katanya.

Dia berkata semasa sesi perbahasan Muktamar Tahunan Dewan Pemuda Pas Ke-60 di Bukit Gambang Resort City (BGRC) di sini malam ini. - UTUSAN ONLINE