Setiausaha Agung Amanah, Mohd. Anuar Mohd. Tahir berkata, dakwaan tersebut tidak berasas sama sekali dan tidak mungkin akan ada undi tidak percaya terhadap Dr. Mahathir.

Katanya, Pas sengaja cuba mencipta persepsi kononnya dalam kalangan komponen PH bertelagah bagi menutup pelbagai isu yang sedang melanda parti tersebut.

“Saya adalah anggota dalam Majlis Presiden dan Setia­usaha Agung PH dan tidak pernah terdengar khabar angi­n seperti itu (undi tidak percaya terhadap Dr. Mahathir).

“Saya pun tidak tahu dari mana Pas mendapat cerita akan berlaku undi tidak percaya kepada Dr. Mahathir. Mereka sengaja nak bermain politik dengan mencipta isu seperti ini untuk menimbul kecurigaan, ini taktik lama,” katanya.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Kerja Raya berkata demikian kepada pemberita ketika melawat pejabat Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) negeri di sini, hari ini.

Mohd. Anuar mengulas pendedahan Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan kononnya terdapat dua parti dalam Pakatan PH mungkin merancang pembelotan terhadap Dr. Mahathir.