Setiausaha Penyelaras Putra negeri, Arjuna Putera Ali berkata, walaupun terdapat cadangan untuk memansuhkan akta berkenaan, itu hanya cadangan pihak minoriti.

Menurut beliau, pada 2015 kerajaan ketika itu telah melakukan pindaan selepas akur dengan desakan segelintir pihak.

“Walaupun akta ini digubal sebelum merdeka, namun ia telahpun dipinda sebanyak tiga kali untuk disesuaikan dengan tuntutan zaman.

“Jadi tidak timbul soal Akta Hasutan ini sudah tidak relevan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, di sini sebentar tadi.

Beliau membuat kenyataan itu berhubung laporan media yang mendakwa Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad memberitahu bahawa Akta Hasutan akan dimansuh dan diganti.

Sehubungan itu pihaknya membuat laporan polis di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat hari ini bagi mendesak agar Akta Hasutan itu dikekal serta ditambah baik dan bukannya dimansuhkan.

Turut hadir, Pengerusi Putra negeri, Datuk Ahmad Puzi Ab. Kahar; Ketua Penaja Bahagian Sri Gading, Ramlee Wahab dan Ketua Penaja Bahagian Batu Pahat, Md. Esa Abbas.

Arjuna Putera yang j merupakan Ahli Dewan Tertinggi Putra menegaskan, Akta Hasutan juga merupakan antara komponen penting bagi mengelakkan tragedi hitam 13 Mei daripada berulang.

“Rakyat khususnya orang Melayu jangan mudah terleka dan lupa berkenaan sejarah hitam di negara ini.

“Sekiranya Akta Hasutan ini dihapuskan kita bimbang agama Islam dan institusi Diraja akan diperlekehkan,” tambahnya. - UTUSAN ONLINE