Bagi mereka, sudah cukup Pas menjalinkan kerjasama dengan UMNO dan seterusnya diharapkan hubungan itu dapat diperkukuhkan untuk merampas kembali Putrajaya daripada PH dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Pesuruhjaya Pas negeri, Mohd. Shukri Ramli berkata, PH tidak tidak usahlah jadi ‘hidung mancung pipi tersorong-sorong’ hendak berpakat dengan Pas selepas gabungan itu selama ini melemparkan pelbagai tuduhan kepada parti itu.

Katanya, pada masa ini, Pas sudah selesa bekerjasama dengan UMNO sama ada di peringkat atasan mahupun akar umbi yang menyambut baik penyatuan tersebut.

“Buat apa hendak ajak Pas bekerjasama, sedangkan mereka (PH) melemparkan pelbagai tuduhan kepada Pas selama ini. Di peringkat akar umbi, kami akan terus memperkasakan kerjasama dengan UMNO dan terus bergerak menjayakan penyatuan ummah ini,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Sebelum ini, Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Husam Musa mempelawa Pas untuk mempertimbangkan tawaran menyertai PH supaya dapat menjadi kerajaan.

Pelawaan itu kemudian disokong penuh oleh seorang lagi Naib Presiden Amanah, Datuk Mahfuz Omar yang turut mempelawa ahli-ahli Parlimen daripada Pas untuk menjadi sebahagian daripada komponen PH.

Bagaimanapun hari ini, Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin menegaskan bahawa parti itu

menolak kerjasama dengan PH, sebaliknya terus kekal bersama Gagasan Sejahtera di samping berta’awun dengan UMNO serta Barisan Nasional (BN) bagi menubuhkan kerajaan sama ada sebelum atau selepas PRU-15.

Sementara itu, seorang ahli Pas, Razali Saad, 53, berkata, pendekatan yang dibawa oleh PH selain bekerjasama dengan DAP semangnya tidak sesuai untuk Pas bersama gabungan itu.

Katanya, mereka di peringkat akar umbi akan mengikut arahan pimpinan mengenai usaha untuk memantapkan kerjasama dengan UMNO.

“Untuk bekerjasama dengan PH, kami di peringkat akar umbi sememangnya menolak. Pada masa ini, kami sudah selesa melihat kerjasama Pas dan UMNO, tidak perlu lagi ada PH,” katanya.

Seorang lagi penyokong Pas, Mohd. Hafiz Zali,35, pula berkata, mereka diperingkat akar umbi sudah tidak sabar untuk ‘menguburkan’ PH dalam pilihan raya akan datang dan tidak mungkin mereka boleh menerima pelawaan itu.- UTUSAN ONLINE