Menurut beliau, tanggungjawab tersebut akan dipikulnya sepanjang tempoh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh itu menghadapi pertuduhan yang sedang dijalan kan ke atasnya di mahkamah.

"Potfolio yang dipegang beliau (Choo Kiong) boleh berjalan seperti biasa. Sebagai contoh beliau adalah Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan pada masa, saya juga adalah Pengerusi Lembaga Perumahan dan Hartanah Perak (LPHP).

"Jadi tiada masalah kerana saya boleh memikul tanggungjawab itu dan potfolio lain seperti biasa buat sementara waktu," katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan program Kempen Sayangi Sawitku Bersama Penjawat Awam Negeri Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Industri Utama, Teresa Kok dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Zainal Azman Abu Seman.

Mengulas lanjut Ahmad Faizal berkata, tiada tempoh masa ditetapkan untuk Choo Kiong bercuti dan beliau akan tetap menjalankan tugas sebagai ADUN seperti biasa.

"Ketika ini tidak perlulah kita tetapkan jangka masa (bercuti). Biarkan beliau memberi tumpuan terhadap kesnya dan kerajaan negeri pula meneruskan tanggungjawab untuk menjalankan pentadbiran seperti biasa.

"Saya tidak lihat ia akan mendatangkan masalah buat Exco kerana selama ini kita membuat keputusan melalui Mesyuarat Kerajaan (MMK) negeri walaupun seseorang itu memegang satu-satu potfolio," katanya.

Choo Kiong yang menghadapi pertuduhan di mahkamah atas kesalahan rogol seorang pembantu rumah warga Indonesia telah mengumumkan bercuti daripada tugas-tugas rasmi sebagai ahli Exco kerajaan negeri Perak kelmarin.

Beliau dilaporkan berkata keputusan itu diambil bagi membolehkannya memberi tumpuan kepada perbicaraan untuk membersihkan nama beliau.-UTUSAN ONLINE