Ahmad Bashah, 58, sebenarnya bukanlah suatu nama asing dalam kalangan rakyat negeri ini, khususnya di DUN Suka Menanti atau sebelum ini dikenali sebagai DUN Bakar Bata setelah menjadi wakil rakyat di kawasan berkenaan selama lima penggal.

Walaupun dikenali penduduk di kawasan DUN yang ditan­dingi, namun itu bukan alasan bagi Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri tersebut untuk tidak turun padang mendekati rakyat dan pengundi sepanjang tempoh berkempen

Di sebalik kesibukannya menjalankan tugas sebagai Menteri Besar, anak jati Alor Setar itu tetap mencari masa untuk meninjau Pusat Daerah Mengundi (PDM) di kawasan DUN Suka Menanti bagi memboleh­kannya mendengar kehendak dan keperluan penduduk setempat.

Malah menjadi rutin Ahmad Bashah sepanjang tempoh berkempen untuk melakukan walkabout ke program Jualan Runtuh anjuran Zuza Food Industries dan Biro Ekonomi UMNO Alor Setar bagi beramah-mesra dan mendekati masyarakat setempat.

“Saya difahamkan program Jual­an Runtuh ini diadakan mengikut giliran di 15 kawasan sekitar Alor Setar seperti di Kampung Berjaya, Seberang Pumpong, Suka Menanti dan Alor Merah bagi membantu orang ramai.

“Jadi saya mengambil kesempatan ini untuk berjumpa pe­ngunjung-pengunjung program ini untuk mengingatkan mereka pada Rabu ini iaitu pada 9 Mei nanti, seluruh rakyat berpeluang memilih kerajaan.

“Sebagai Menteri Besar dan calon DUN Suka Menanti, saya mengingatkan pengunjung supaya tidak membuat keputusan yang akan merugikan kerana pembangkang boleh menjanjikan bulan dan bintang sepanjang kempen ini, namun belum tentu mereka boleh merea­lisasikannya,” katanya di sini baru-baru ini.

Menurut Ahmad Bashah, kerajaan BN yang sudah diberi mandat sebanyak 13 kali telah menunjukkan kemampuan mentadbir dan memajukan negeri dan negara.

“Selama lima penggal diberi kepercayaan penduduk dan pe­ngundi di kawasan ini, banyak pembangunan infrastruktur telah berjaya dilaksanakan. Jika diberi mandat pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) ini, saya akan memberi perhatian terhadap aspek perumahan bagi membolehkan penduduk di kawasan ini memiliki rumah sendiri.

“Disebabkan kekangan utama di Alor Setar ini adalah tanah, mungkin pembinaan rumah binaan tinggi dengan konsep PPR (Projek Perumahan Rakyat) boleh dilaksanakan,” ujarnya.