Beliau berkata, walaupun kalah dan hilang kuasa pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) pada tahun lalu, semangat perjuangan ahli UMNO tidak luntur malah terus membara untuk pertahankan parti sebagai wadah perjuangan orang Melayu.

Katanya, berbagai-bagai tekanan diberikan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) untuk menghancurkan UMNO sejak PRU-14 termasuk Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang bercita-cita hendak menjadi parti alternatif kepada UMNO sebagai parti mewakili orang Melayu di negara kita.

“Pelbagai cara mereka gunakan untuk mematikan UMNO antaranya membekukan aset dan wang milik parti, memastikan parti tiada pemimpin selain mahukan UMNO disaman. Semua ini dilakukan supaya ahli UMNO luntur semangat serta hilang keyakinan terhadap perjuangan parti, namun, perkara sebaliknya yang berlaku.

“Sampai akhirnya dia (Tun Dr. Mahathir Mohamad) menyerah kalah apabila mempelawa masuk parti dia. Ingin saya katakan, kalau nak masuk (bergabung), bubarkan Bersatu dan masuk UMNO, barulah kita boleh pertimbangkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Mesyuarat Pewakilan UMNO Bahagian Iskandar Puteri di sini hari ini.

Yang turut hadir Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Ir. Hasni Mohammad.

Ismail Sabri berkata, tidak masuk akal sebuah parti politik yang asal mempunyai lebih tiga juta ahli hendak masuk sebuah parti serpihan yang mempunyai kira-kira 300,000 ahli.

Katanya, mereka tidak perlu bertindak demikian kerana UMNO mempunyai asas perjuangan yang kukuh untuk memartabatkan bangsa Melayu dan menegakkan Islam dan bukan seperti Bersatu yang tidak mempunyai perjuangan jelas. - UTUSAN ONLINE