Exco Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Mashitah Ibrahim berkata, itu adalah situasi yang mungkin parti itu akan terus hadapi dalam tempoh menjadi pembangkang selepas kalah teruk pada pilihan raya umum lalu.

Walau bagaimanapun, katanya, perkara itu tidak seharusnya menjadi penyebab ahli-ahli keluar dari landasan perjuangan orang Melayu dan bumiputera sebaliknya menjadikan situasi tersebut sebagai cabaran untuk menyusun semula strategi demi kelangsungan UMNO.

“Waktu ini adalah masa terbaik untuk bertukar menjadi realistik yakni kalau sudah jadi pembangkang, jangan terus menangis tetapi tengok ke depan, fikir apa yang perlu dilakukan. Selepas itu letakkan harapan untuk lakukan sesuatu yang membawa kebaikan kepada generasi akan datang dan bukan untuk diri sendiri.

“Kadang-kadang kesusahan mengajar kita tentang erti dan nilai perjuangan. Senang lenang banyak mengajar lalai dan hidup dalam ‘comfort zone’. Kita harus rasa ini kalau tidak, kita tidak tahu manisnya perjuangan itu,” katanya.

Beliau ditemui Utusan Online dalam Perhimpunan Agung Pergerakan Wanita UMNO 2018 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini hari ini.

Mashitah turut menggunakan analogi ‘bercerai talak satu’ untuk dijadikan panduan dalam kalangan ahli UMNO agar menguatkan semangat untuk sama-sama berjuang dengan kepimpinan parti.

“Orang yang bercerai talak satu, mereka masih ada harapan untuk kembali menawan orang yang disayangi, begitu juga UMNO yang mempunyai harapan untuk menawan kembali hati rakyat.

“Jadi buang ego dan tanamkan sikap berani. Berani bermaksud kena berani terima kita sudah buat kesilapan maka muhasabah diri,” katanya.

Sementara itu, Penolong Setiausaha Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Rosni Sohar merasakan cabaran yang dilalui parti berkenaan ketika ini menjadi pemangkin untuk mengembalikan asas perjuangan.

Ujarnya, meskipun ramai tokoh UMNO mula meninggalkan bahtera selepas parti tiada lagi kuasa, namun kehadiran perwakilan dalam perhimpunan hari ini disifatkan sebagai pejuang sejati demi agama, bangsa dan negara.

“Warna sebenar pemimpin dan ahli dapat dilihat ketika ini apabila hanya yang benar-benar menghayati dan mengikuti perjuangan mahu terus kekal bersama UMNO.

“Walaupun kita sudah tak ramai tetapi semuanya adalah pejuang sejati UMNO malah lebih 90 peratus Wanita UMNO masih setia dan kekal bersama parti,” katanya. - UTUSAN ONLINE