Lagi pun, menandatangani surat aku janji adalah satu prosedur biasa dalam memastikan tiada pelanggaran undang-undang berlaku oleh ahli sesebuah parti.

Ahli Parlimen BN Padang Besar, Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata, surat aku janji tersebut adalah sesuatu yang wajar untuk dilaksanakan.

“Tetapi apa yang lebih penting adalah tanggungjawab pemimpin tersebut. Mereka sepatutnya memberi contoh yang baik kepada rakyat.

“Apabila diberi amanah, berjanji kepada rakyat, ia perlu ditunaikan. Jangan tipu dan jangan khianat,” katanya kepada ditemui dalam Perhimpunan Agung UMNO 2018 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Putra Dunia (PWTC), Kuala Lumpur.

Zahidi berkata demikian mengulas cadangan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dalam ucapan dasarnya semalam berkenaan ahli UMNO yang tinggal perlu menandatangi surat aku janji demi kestabilan UMNO.

Sementara itu, Ahli Parlimen BN Lenggong, Datuk Shamsul Anuar Nasarah berkata ia bukanlah sesuatu perkara yang pelik.

“Parti lain juga ada lakukan perkara yang sama. Lagi pun selama ini, UMNO bukanlah sebuah parti yang bersifat mengikat ahlinya.

“Sudah tiba masa untuk UMNO lakukan prosedur ini demi manfaat UMNO dan saya tegaskan, ia bukanlah sesuatu perkara yang pelik dan sudah tiba masa untuk dilaksanakan,” katanya.

Dalam pada itu, beberapa ahli Parlimen BN lain seperti Tengku Adnan Tengku Mansor dan Idris Jusoh enggan mengulas lanjut dan melarikan diri ketika mahu disoal tentang isu berkenaan. - UTUSAN ONLINE