Datuk Abdul Mutalif Abdul Rahim yang juga Ketua UMNO Bahagian Petaling Jaya berkata, beliau mengetahui sekatan tersebut pada 21 September lalu.

"Bila saya tanya apa sebab, oh atas keselamatan. Saya tidak tahu apa maksud keselamatan tersebut. Saya tidak tahu apa yang berlaku. Di mana kesalahan saya tidak tahu. Tiba-tiba kena sekat. Tiba-tiba itu tak boleh ini tak boleh. 

"Saya nak beritahu kepada seluruh rakyat Malaysia, saya dan keluarga masih percaya wujudnya keluhuran undang-undang di negara kita. Itu saya percaya. Negara kita bagus, negara kita mempunyai undang-undang yang kuat, itu saya yakin. Tapi apa yang sebaliknya semua ini saya serah kepada Allah," kata Abdul Mutalif dalam program Sembang Online di Utusan Online sempena Perhimpunan Agung UMNO 2018 di sini hari ini.

Dua abang Abdul Mutalif iaitu Abdul Azeez dan Abdul Latif kini ditahan reman bagi sisatan kes rasuah. Kedua-dua mereka ditahan sejak Rabu lalu dan disambung sehingga 5 oktober depan mengikut peruntukan 117 Kanun Acara Jenayah.

"Dari segi siasatan abang-abang saya memberikan kerjasama sepenuhnya. Bila dipanggil pada bila-bila masa beliau memberikan komitmen 100 peratus kepada SPRM dan sebagainya sejak empat bulan lalu. 

"Tapi sedih sekali semalam beliau direman untuk enam hari. Minta tak perlu direman. Dari segi keselesaan mereka dilayan dengan baik oleh SPRM. Allahmdullilah," kata Abdul Mutalif.

Menurut Abdul Mutalif yang merupakan Perwakilan Perhimpunan Agung UMNO 2018, keluarga abang-abangnya menghadapi peristiwa tersebut dengan tabah.

Abdul Mutalif berkata, Abdul Azeez turut menyampaikan pesanan kepada ahli dan perwakilan UMNO agar jangan sekali-kali patah semangat dan terus setia kepada kepimpinan UMNO.-UTUSAN ONLINE