Ini rentetan pengesahan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador bahawa ketulenan video seks yang tular didakwa melibatkan Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu sejak lebih sebulan lalu adalah tinggi.

Walaupun Abdul Hamid tidak dapat mengesahkan penglibatan Timbalan Presiden PKR itu, namun status ketulenan video tersebut dilihat boleh menimbulkan situasi berbelah bahagi dalam kalangan mereka yang menyokong Mohamed Azmin sebelum ini.

Sama ada Mohamed Azmin terlibat atau tidak, pengesahan itu telah menjadi seperti satu 'pukulan' kepada beliau serta para penyokong tegarnya yang tetap setia walaupun dibadai dengan pelbagai cabaran sejak tularnya rakaman video tersebut.

Ini lebih-lebih lagi selepas mengambil kira pengakuan bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Cabang Santubong, Haziq Abdullah Abdul Aziz yang mendakwa kononnya Mohamed Azmin merupakan indvidu bersama dengannya dalam rakaman video tersebut.

Sama ada pengakuan Haziq Abdullah itu benar atau tidak, itu soal lain. Tetapi perkembangan semasa siasatan polis terhadap ketulenan video tersebut dan diambil kira pengakuan Haziq Abdullah itu tentunya tidak baik kepada Mohamed Azmin.

Tidak mustahil kedua-dua perkara itu akan menyebabkan sokongan padu diterima Mohamed Azmin daripada 15 Ahli Parlimen dan kepemimpinan PKR sebelum ini semakin goyah.

Situasi semasa nampaknya seolah-olah tidak menyebelahi Mohamed Azmin dalam usaha beliau untuk membersihkan namanya daripada terus terpalit dengan skandal video berkenaan.

Perkara ini sudah tentunya memberi kesan besar kepada karier politik beliau. Ini kerana bagi rakyat apa yang penting ialah seorang pemimpin itu haruslah bersih dan kelihatan bersih. - UTUSAN ONLINE