Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, meskipun usaha dan rangka ke arah kerjasama kedua-dua parti itu sudah ada sebelum ini, namun malangnya ia tidak menjadi kenyataan seterusnya menyaksikan pertembungan sesama sendiri di dalam pilihan raya.

Dalam masa sama katanya, kekalahan itu juga menjadi hikmah apabila Pas, UMNO yang bersengketa sekian lama, kini sudah bersatu dan maka sebab itu penyatuan ini perlu dijaga dengan baik.

“UMNO kecundang buat pertama kalinya dalam 60 tahun. Itu peringatan Allah SWT bukan sahaja kepada UMNO tetapi kepada semua apabila kita tidak bersatu. Allah SWT berpesan supaya Islam jangan berpecah belah dan berbalah kerana nescaya ia akan menyebabkan kita (umat Islam) jadi lemah dan hilang kekuatan.

“Kita (UMNO, Pas) terima implikasi ini dan akan bangkit untuk mengukuhkan kerjasama ini.

Dalam masa sama, kita juga perlu jaga taawun ini kerana orang luar yang tidak suka terhadap penyatuan ummah ini akan melakukan apa sahaja untuk melihat kita berpecah,” katanya ketika berucap pada program perpaduan ummah di Command Centre, Jerai di sini malam tadi.

Yang turut hadir, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom; Pesuruhjaya Pas negeri, Ahmad Yahaya; Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Md. Alwi Che Ahmad dan Yang Dipertua Pas kawasan Jerai, Musoddak Ahmad.

Kata beliau lagi, keputusan Pas menjalinkan kerjasama dengan UMNO adalah langkah paling tepat dalam suasana sekarang.

“Kita sedar dulu kita bertembung sesama sendiri hanya disebabkan sedikit perbezaan sedangkan persamaan antara kita terlalu banyak,” katanya.

Tambah Takiyuddin yang merupakan Ahli Parlimen Kota Bharu, beliau percaya kerjasama tersebut di semua peringkat sama ada di negeri-negeri sudah bersedia untuk memperkemaskan persiapan dalam menghadapi PRU-15.

“Kita akan melihat suatu kebangkitan dan gelombang rakyat yang resah dengan pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan (PH) hari ini. Atas nama Islam, Melayu dan apa sahaja, wajib kita jatuhkan kerajaan PH,” katanya.

Sementara itu, Takiyuddin berkata, pembahagian kerusi antara Pas dan UMNO dalam menghadapi PH pada PRU-15 bukan satu masalah besar kerana apa lebih penting bagi kedua-dua parti itu adalah untuk memastikan kuasa Melayu Islam kembali dalam pemerintahan di negara ini.- UTUSAN ONLINE