Presiden Gerakan ,Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai berkata, kenyataan tersebut dilihat pusingan ‘U’ dan berbeza pada tahun 1984 apabila Kit Siang secara jelas menentang tulisan Jawi dengan mendakwa ia tidak berperlembagaan serta memberi tekanan kepada pelajar.

“Kit Siang tidak tahu malu ketika beliau menghidupkan isu Jawi dengan menafikan pernah memaksa Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Tamil (SJKT) untuk melaksanakan Jawi .

“Saya fikir Kit Siang sendiri perlu menghadiri kelas bahasa Cina. Lagipun, bahasa Cina Kit Siang tidak begitu baik. Dia sudah tua dan mudah lupa banyak perkara. Jika dia tidak keberatan, Gerakan mempunyai banyak pemimpin Cina yang boleh memberikan tunjuk ajar secara percuma kepada beliau,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dalam pada itu, Dominic turut mempersoalkan mengapa Jawi harus dimasukkan dalam buku teks bahasa Cina jika ia benar-benar pengenalan

“Dan jika hanya memperkenalkan penulisan Jawi, maka mengapa anda perlu menghabiskan tiga halaman untuk memperkenalkannya,” jelasnya.

Kit Siang sebelum ini membidas pihak yang terus menakut-nakutkan masyarakat bukan Melayu berikutan keputusan kerajaan memperkenalkan seni khat dan tulisan Jawi bagi mata pelajaran bahasa Melayu Tahun Empat.

Kit Siang berkata, ketakutan segelintir masyarakat bukan Melayu itu bukan sahaja tidak berasas, malah akan membantutkan usaha kerajaan mengintegrasikan rakyat berbilang kaum.-UTUSAN ONLINE

Habis//