Katanya, beliau hanya memetik tulisan artikel dalam bahasa Inggeris daripada perenggang penutup rencana tulisan Fa Abdul yang merupakan kolumnis sebuah portal berita, Malaysiakini.

“Berhubung status Facebook saya yang menjadi kecaman pihak tertentu, perlu saya ulangi bahawa yang sebenarnya ia bukan tulisan saya.

“Saya bukan penulis itu. Kesilapan saya ialah tidak meletakkan nama penulis tersebut di bawah petikan ayat itu,” katanya menerusi hantaran dalam akaun Facebook miliknya di sini.

Sehubungan itu, Lip Eng tampil memohon maaf atas perkongsian petikan tersebut dan berjanji akan lebih berhati-hati dalam membuat perkongsian dalam media sosial.

“Semoga salah faham ini dapat dijernihkan dengan penjelasan ini,” katanya.

Sabtu lalu, Lip Eng memuat naik status seakan-akan menghina tulisan khat dan Jawi berikutan Kementerian Pendidikan bertegas untuk melaksanakan pengenalan seni kaligrafi itu dalam mata pelajaran Bahasa Melayu Tahun 4 pada tahun 2020 sebelum menyunting dan memadam sepenuhnya selepas lima jam kemudian. - UTUSAN ONLINE