Ketua UMNO Bahagian Langkawi, Datuk Ir. Nawawi Ahmad berkata, sokongan yang diterima Najib itu jelas dapat dilihat melalui media-media sosial dan sambutan yang diterima oleh beliau setiap kali berada di sesuatu kawasan.

Katanya, melihat kepada situasi semasa itu, Najib sememangnya menjadi aset kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN) dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

“Aura Najib kembali hanya dalam tempoh setahun. Dahulu, sebelum PRU-14, di media-media sosial hampir 90 orang memberi komen negatif dan membenci Najib. Kini, keadaan berlaku sebaliknya apabila orang kembali menyukai dan menyokong Najib,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas wujudnya suara-suara dan desakan daripada akar umbi UMNO supaya pemilihan semula parti diadakan rentetan situasi semasa dalam parti itu termasuklah kembalinya Najib dalam kepemimpinan tertinggi BN.

Perlantikan Najib itu mengundang pelbagai reaksi antaranya Ketua UMNO Bahagian Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz menganggap ia satu langkah ke belakang dan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Rembau, Khairy Jamaluddin mengakui tidak gembira mendengar berita itu.

Sementara itu, Nawawi berpandangan bahawa pemilihan semula parti bagi memilih kepemimpinan baharu tidak perlu diadakan, sebaliknya peluang perlu diberikan kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menjalankan tugasnya.

Katanya, gandingan Ahmad Zahid dan timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hasan mampu memberi impak yang lebih baik kepada parti.

“Kita perlu ikut prosedur dan undang-undang dalam perlembagaan parti yang mengadakan pemilihan parti setiap tiga tahun. Ahmad Zahid dipilih melalui proses demokrasi apabila menang dalam pemilihan.

“Jika kita ada pemimpin lebih layak, gunakan platform dalam pemilihan parti pada 2021. Apa yang lebih penting sekarang adalah kita perlu mengukuhkan parti. Dalam politik ini bukan senang untuk memuaskan hati semua pihak,” katanya.- UTUSAN ONLINE