Hal demikian diburukkan lagi dengan kejadian terbaharu apabila seramai 33 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Pasir Putih, Pasir Gudang mengadu terhidu bau busuk sebelum mengalami muntah serta loya ketika sesi persekolahan pagi semalam.

Sehubungan itu, Timbalan Presiden MCA, Datuk Dr. Mah Hang Soon mendesak Bee Yin meletak jawatan dan mengambil tanggungjawab atas kegagalannya itu sekali gus dapat memberi laluan kepada seseorang yang lebih layak.

Jelas Hang Soon, Bee Yin bukan sahaja terbukti gagal menjaga kebajikan dan keselamatan penduduk di Pasir Gudang, malah sumber serta punca pencemaran juga masih tidak dapat dikenal pasti oleh Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim.

“Insiden terbaharu ini mencerminkan ketidakcekapan kementerian berkenaan dan juga menterinya. Kerajaan Pakatan Harapan (PH) juga seolah-olah tidak menghargai nyawa manusia, kesihatan dan keselamatan penduduk.

“Selepas insiden pertama di Sungai Kim Kim, Mac lalu, insiden kedua pula terjadi pada Jun yang telah menyebabkan penutupan 475 institusi pendidikan. Kini, insiden ketiga pula telah menjejaskan 33 murid sekolah rendah,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Seramai 33 murid SK Pasir Putih, Pasir Gudang mengadu terhidu bau busuk sebelum mengalami muntah serta loya ketika sesi persekolahan, pagi semalam.

Dalam kejadian pukul 7.30 pagi itu, seramai lima murid lelaki dan 28 perempuan dikejarkan ke klinik berdekatan untuk mendapatkan rawatan awal.

Menurut Timbalan Pengarah Pendidikan (Pengurusan Sekolah) Johor, Ab. Rahim Lamin, keadaan sekolah terkawal namun sebagai langkah berjaga-jaga, bilik darjah di tingkat tiga dan empat sekolah berkenaan dikosongkan.

Menurutnya, semua pelajar yang terkesan duduk di bilik darjah tingkat tiga dan empat sekolah berkenaan dikumpul di bahagian bawah bangunan sekolah berkenaan. - UTUSAN ONLINE