Ummah 2.0.

Pengerusi penganjur himpunan itu, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, perhimpunan aman yang menerima permit polis bertujuan menyokong agenda penyatuan ummah dalam kalangan orang Melayu tanpa mengira ideologi politik di negara ini.

Menurut beliau, buat julung kalinya sejak dua himpunan tahun lalu di Pasir Salak, masing-masing Himpunan Melayu Bangkit, 1 September dan Himpunan Perpaduan Ummah (17 November), himpunan kali ini mendapat dukungan kuat daripada UMNO dan Pas, sekali gus menyaksikan kesatuan erat kedua-dua parti Melayu terbesar itu.

"Pas diwakili Setiausaha Agungnya, Datuk Takiyuddin Hassan; Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria serta 24 Yang Dipertua Pas kawasan negeri Perak.

"UMNO pula disertai Presiden, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi; Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan; Naib Presiden Datuk Seri Mahdzir Khalid; Pengerusi Lembaga Penasihat Barisan Nasional, Datuk Seri Najib Tun Razak; 20 ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Ketua Pemuda, Ketua Wanita, Ketua Puteri serta 70 ketua bahagian dari Perlis hinggalah Sabah yang telah mengesahhkan kehadiran.

"Himpunan ini bukan hanya untuk orang UMNO dan Pas sahaja tetapi program untuk orang Melayu dan masyarakat umum, justeru marilah bersama-sama kita jayakan," kata beliau kepada Utusan Online hari ini.

Menurut Tajuddin, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan timbalannya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man tidak dapat hadir kerana mempunyai urusan kerja di luar negara.

Mengenai atur cara majlis, kata beliau, program akan bermula pada pukul 5 petang Jumaat dengan persembahan oleh kumpulan kebudayaan Dendang Anak, diikuti bacaan sajak sepentomin.

"Ini diikuti acara persembahan Pertubuhan Kerabat yang kemudiannya akan menyampaikan bantahan atas penghinaan terhadap anggota tentera kita baru-baru ini yang dikatakan `hanya makan dan tidur'.

"Seterusnya sekitar 7.23 malam solat Maghrib berjemaah, diikuti solat hajat, tazkirah dan ceramah oleh pendakwah yang juga Presiden Kelab Pendukung Penyatuan Ummah Malaysia, Ustaz Ahmad Husam Baderudin," kata beliau.

Tajuddin berkata, selepas solat Isyak berjemaah, majlis diteruskan dengan siri ucapan oleh presiden UMNO, Setiausaha Agung Pas, Timbalan Presiden UMNO dan Najib.

"Sebagai pengerusi penganjur himpunan, saya menyeru orang Melayu Islam tanpa mengira ideologi dan perjuangan dari seluruh negara datang beramai-ramai ke Dataran Dewan Besar Pekan Rabu Sungai Manik Jumaat ini untuk menjayakan himpunan yang menjadi lambang kesatuan bangsa Melayu dan umat Islam ini.

"Ini penting untuk menunjukkan kekuatan kita menjadi benteng pertahanan kepada serangan pihak musuh yang berniat jahat terhadap bangsa Melayu dan umat Islam.

"Dan kita tahu pada hari ini kita diserang dari luar dan dalam, jadi, marilah datang beramai-ramai," kata Tajuddin. - UTUSAN ONLINE