Menurut sumber dalaman parti itu kepada Utusan Malaysia di sini hari ini, sebanyak 12 Ketua Cabang PKR di negeri telah memaklumkan menyatakan sokongan kepada Anwar.

Kata sumber itu, selain ketua cabang, Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Wanita Keadilan turut menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi kepada Ahli Parlimen Port Dickson itu.

Katanya, setakat ini, hanya tiga daripada keseluruhan 15 ketua cabang PKR di Kedah masih belum memberi sokongan kepada Anwar.

“Kami menyatakan ikrar taat setia dan menyokong penuh tanpa berbelah bahagi kepada Anwar untuk terus menjadi nakhoda menerajui parti ini.

“Kami juga menyatakan komitmen sedaya upaya menyokong dan membantu Anwar menerajui negara sebagai Perdana Menteri ke-8 selepas ini,” kata sumber tersebut yang turut berkongsikan kenyataan sokongan itu.

Baru-baru ini, susulan kemelut dalaman yang berlaku, enam orang Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR telah menandatangani petisyen sokongan terhadap Anwar.

Enam daripada mereka iaitu Datuk Johari Abdul (Kedah), Amran Kamarudin (Perlis), Halim Bachik (Melaka), Azan Ismail (Terengganu), Zahir Hassan (Wilayah Persekutuan), dan Mohamad Supardi Md Noor (Kelantan).

Selepas itu, PKR Pulau Pinang dan Johor juga menyatakan ikrar taat setia dan menyokong penuh terhadap Anwar terus memimpin parti tersebut.

Setakat ini, hanya dua Pengerusi MPN yang belum menandatangani dokumen itu iaitu Selangor dan Sarawak manakala semua negeri lain telah berbuat demikian.

Sebelum itu, kedengaran desas-desus berlakunya perpecahan dalam parti itu susulan penyebaran video lucah yang dikaitkan dengan seorang pemimpin kanan parti berkenaan. - UTUSAN ONLINE