Ketua Pemuda Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan), Shahir Adnan berkata, kuota kehadiran bagi setiap parti lain itu telah ditetapkan oleh kepemimpinan tertinggi UMNO dan Pas.

Kata beliau, kehadiran Ikatan pada majlis tersebut akan diketuai oleh Setiausaha Agung parti, Tengku Mudzaffar Tengku Zaid.

“Hanya Presiden Pas dan UMNO yang akan terlibat secara langsung menandatangani piagam kerjasama itu, manakala Ikatan sekadar menyaksikan pemasyhuran tersebut dilakukan.

“Hal ini berikutan Ikatan berada dalam Gagasan Sejahtera bersama Pas,” katanya ketika dihubungi Utusan Online di sini hari ini.

Mengulas lanjut Shahir berkata, walaupun Ikatan tidak menandatangani piagam tersebut, namun beliau tetap meletakkan harapan yang tinggi terhadap penyatuan itu.

“Sudah tentu saya mengharapkan supaya penyatuan ini dapat menguatkan lagi kedudukan blok pembangkang yang sebelum ini tiada arah,” katanya.

Ogos lalu, Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa berkata, Pas dan UMNO muktamad untuk memeterai piagam perpaduan ummah dan menandatangani satu memorandum persefahaman.

HPU914 bakal mencatatkan detik bersejarah apabila dijangkakan hampir 10,000 hadirin akan membanjiri PWTC untuk menyaksikan permeteraian antara dua parti Melayu terbesar negara ini. - UTUSAN ONLINE