Ia berlaku apabila Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengumumkan kerajaan akan menerima syarat pembangkang untuk meminda had umur mengundi kepada 18 tahun.

Dua syarat pembangkang adalah untuk turut menurunkan had umur menjadi calon pilihan raya kepada 18 tahun dan menjalankan pendaftaran undi automatik.

Dr. Mahathir berkata, pihak pembangkang telah menyatakan komitmen untuk menyokong pindaan tersebut setelah kedua-dua syarat itu dipersetujui kerajaan.

Ketika ditanya adakah kerajaan yakin dengan komitmen pembangkang, beliau menyatakan keyakinannya.

"Takkanlah mereka nak tipu saya," katanya ringkas dalam sidang akhbar di Lobi Parlimen di sini hari ini.

Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2019 akan dibentangkan di Dewan Rakyat untuk bacaan pertama esok. - UTUSAN ONLINE