Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, sehubungan itu juga, kerajaan menganggarkan jumlah pengundi pada tahun 2023 akan meningkat lebih daripada 50 peratus menjadikan jumlah pengundi sekitar 22.7 juta berbanding 14.9 juta pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) pada 2018.

"Kerajaan telah memulakan kerja-kerja awal melalui pelaksanaan inisiatif reformasi

pilihan raya sejak Julai 2018 lagi. Kerja-kerja awal ini meliputi kajian dan penelitian ke atas pelaksanaan pendaftaran secara automatik serta keperluan pembangunan proses kerja dan pembangunan sistem.

"Kerajaan memahami akan keperluan untuk membuat persediaan rapi sebelum pendaftaran pemilih secara automatik ini dapat dilaksanakan sepenuhnya. Oleh yang demikian, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memerlukan satu tempoh waktu yang sesuai untuk memastikan kelancaran proses kerja yang berkaitan," katanya.

Dr. Mahathir berkata demikian semasa membentangkan Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2019 bagi bacaan kali yang kedua di Dewan Rakyat hari ini.

Sementara itu, jelas Perdana Menteri, kerajaan bersetuju untuk mencadangkan Malaysia menurunkan had umur mengundi dan had umur calon seawal 18 tahun adalah juga selaras dengan amalan demokrasi dunia.

Menurut Dr. Mahathir, selepas 1970-an, negara-negara maju seperti United Kingdom, Eropah Barat, Amerika Syarikat, Jerman, Kanada, Perancis dan Australia telah menurunkan had umur mengundi kepada 18 tahun.

Kemudian katanya, ia diikuti oleh India, Pakistan, New Zealand dan semua negara di Amerika Latin, Afrika dan Asia pada era 1980-an dan yang terakhir mengikuti jejak menurunkan had umur mengundi kepada 18 tahun ialah negara Jepun pada tahun 2016.

"Pada ketika ini, hanya Malaysia dan Singapura di ASEAN serta beberapa negara lain seperti Kuwait, Oman, Cameroon, Lubnan, Samoa dan Tonga yang masih mengekalkan had umur mengundi 21 tahun, ini bermakna, kesemua negara Komanwel lain yang mengamalkan demokrasi ala

Westminster, termasuklah India telah menetapkan umur 18 tahun sebagai umur kelayakan mengundi.

"Hampir semua negara di Asia telah melaksanakan had umur mengundi 18 tahun dan yang terkini beberapa negara di Eropah pula telah mula menurunkan had umur mengundi yang lebih rendah daripada 18 tahun kepada 16 tahun, berikutan perkembangan di seluruh dunia ini,

maka golongan belia di Malaysia terdorong untuk turut diberi hak mengundi seawal usia 18 tahun," katanya.- UTUSAN ONLINE