MOHD. PUAD ZARKASHI

MOHD. PUAD: Ketika saya dimaklumkan oleh Perdana Menteri untuk mengambil alih JASA, dalam fikiran saya ialah apa yang saya boleh buat supaya tidak lari daripada objektif JASA diwujudkan.

Apa peranan yang dimainkan oleh JASA, dalam usaha menyakinkan rakyat supaya tidak memandang serong kepada kepemimpinan negara berikutan isu 1MDB?

Memang betul di peringkat awal dulu, isu 1MDB digunakan untuk ‘serang’ Perdana Menteri dengan tujuan merosakkan imej beliau. JASA mengambil inisiatif membukukan jawapan-jawapan yang sebelum ini telah dikeluarkan, bukan mereka-reka jawapan mengenai isu 1MDB. JASA membantu bagi membolehkan rakyat memahami isu itu dengan menggunakan bahasa yang mudah termasuk memaparkan infografik.

Apabila menjadi Ketua Pengarah JASA, Datuk juga diberikan pelbagai gelaran buruk, apa pandangan Datuk?

Apa yang berlaku kini ialah pembangkang menggunakan permainan blame the victim, jadi Najib menjadi mangsa. JASA ada tugas untuk menyampaikan maklumat yang betul dan berdasarkan fakta serta mempertahankan kerajaan sedia ada. Dituduh sebagai macai atau penjilat itu perkara yang mesti ditempuh oleh sesiapa sahaja. Saya tahu tanggungjawab dan peranan yang perlu saya lakukan untuk betulkan persepsi salah yang telah ditimbulkan.

Dengan dunia siber sekarang mendominasi dunia maklumat termasuk penguasaan laman-laman sosial terutama Facebook, Twitter, portal, blog dan WhatsApp, bagaimana pelaksanaan dari mencongak strategi dan perancangan JASA perlu seiring dengan perkembangan ini?

Bila berada di JASA, saya akur dengan cabaran ‘hyper connectivity’ sebab ada kerajaan tumbang disebabkan media sosial. Jadi mahu tak mahu JASA perlu responsif dengan cabaran ini. Saya baiki struktur dalam JASA dengan mewujudkan Jabatan Penapisan dan Penyebaran Maklumat serta Jabatan Kandu­ngan dan Komunikasi Strategik. Se­mua elemen media sosial seperti Facebook, Twitter, portal, blog, WhatsApp telah kita gunakan agar JASA lebih efektif dalam penyebaran maklumat. Cuma sekarang adakah masyarakat kita bersedia terima pembohongan berbanding fakta sebab ramai yang lebih gemar dengan cerita bohong.

Kepimpinan kerajaan kini di­dakwa dalam keadaan caca marba bagaimana pula JASA menilai senario ini?

Caca marba itu disebabkan fitnah dan pembohongan yang telah dilemparkan kepada kerajaan, ada yang kata kerajaan kita dah bankrap, adakah sampai kita tidak boleh bayar gaji kakitangan awam? Kalau ikut pada media sosial memang dah jadi caca marba kerana semua itu fitnah semata-mata.