Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini bahawa beliau telah pun menyemak terlebih dahulu kesahihan hadis tersebut, sebelum menggunakannya.

“Saya telah semak martabat hadis itu dan saya fikir yang penting kita tidak boleh hanya berpegang satu pandangan. Berapa hadis sahih? Kita terima ada enam sumber hadis sahih iaitu Bukhari, Muslim, Tarmizi, Abu Daud, Ibnu Majah dan An-Nasaie.

“Masing-masing meletakkan syarat, ada yang rigid, ada yang kurang. Oleh itu, tidak boleh kita berpegang hanya satu pandangan lalu kita berpandangan itu yang muktabar,” katanya.

Tambah beliau yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian, tidak timbul sama sekali Pas memperkudakan agama apabila menggunakan hadis tersebut bagi menentang usul pengisytiharan harta.

“Hadis panduan. Kalau kita tak berpandukan hadis apa lagi? Bukan memperalatkan hadis, sebaliknya yang penting kita berjalan ikut panduan hadis.

“Kalau nabi sebut demikian tak kan kita nak pertikai, ini Rasulullah beritahu, kalau itu panduan Rasulullah kita kena ikut,” katanya.

Semalam, usul mencadangkan setiap Ahli Parlimen wajib mengisytiharkan harta masing-masing mendapat persetujuan sebulat suara ahli-ahli Dewan Rakyat. - UTUSAN ONLINE