Senator Datuk Dr. Lucas Umbul berkata, jika tiada kawalan dilakukan, setiap produk yang dihasilkan dikhuatiri hanya menggunakan label dalam bahasa Inggeris demi melariskan jualan sehingga tanggungjawab untuk mempertahan serta memperjuangkan bahasa Melayu terabai.

“Dalam kita mengejar pemba­ngunan, meningkatkan ekonomi atau menambah keuntungan, janganlah kita lupa atau mengabaikan bahasa kebangsaan, walaupun sudah termaktub dalam Perlembagaan tetapi masih perlu dipertahankan sebagai jati diri rakyat Malaysia.

“Apabila TPPA bergerak sepenuhnya dan lambakan barangan serta perkhidmatan berada di pasaran, saya risau banyak syarikat mahu melariskan perniagaan sehingga mengabaikan bahasa kebangsaan dan menggunakan label bahasa Inggeris sepenuhnya,” katanya ketika membahaskan usul penyertaan Malaysia di dalam TPPA di Dewan Negara hari ini.

Menurut beliau, Jepun yang juga merupakan ahli TPPA adalah contoh negara yang memartabatkan bahasa ibundanya dalam setiap produk mereka, namun tetap laris di pasaran luar negara.

“Jika kita lihat produk mereka hanya tertera bahasa Jepun langsung tiada bahasa Inggeris, kalau ada pun hanya pada nama produk tetapi laris malah orang Malaysia pun menerimanya ke­rana kualiti produk itu.

“Justeru, tidak salah ra­sanya jika disediakan garis panduan yang ketat dan memastikan semua syarikat tempatan menggunakan bahasa Melayu untuk produk mereka di luar negara,” katanya.

Sementara itu, Senator Datuk Boon Som Inong meminta kerajaan bertegas dalam mempertahankan hak bumiputera terutama dalam mendapatkan tender kerajaan demi kelangsungan perniagaan dan terus dapat bersaing dengan peniaga dari luar.

“Saya difahamkan apabila TPPA dilaksanakan semua syarikat dari luar boleh mengambil projek tender kerajaan berjumlah RM315 juta ke atas dan kadar itu akan dikurangkan sehingga RM70 juta dalam tempoh 20 tahun.

“Ini bererti dalam tempoh 20 tahun, syarikat luar boleh mengambil projek serendah RM70 juta sedangkan inilah projek-projek yang banyak dilaksanakan oleh syarikat tempatan,” jelasnya.