Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, hal demikian kerana Malaysia telah memperoleh pengecualian ke atas mekanisme pengimportan dan pengedaran beras negara.

“Dengan pengecualian ini, semua dasar berkaitan pengimportan beras dikekalkan seperti sedia ada dan hanya akan dipinda sekiranya ada keperluan di pihak kerajaan.

“Oleh itu, tidak perlu ada bentuk kawalan yang baharu dari segi kemasukan beras dari luar negara serta tidak perlu ada langkah perlindungan yang baharu untuk melindungi kepentingan sektor padi dan beras tempatan serta pendapatan petani,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Mahfuz Omar (Pas-Pokok Sena) mengenai bentuk kawalan beras dari luar dengan pelaksanaan TPPA dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.

Mengulas lanjut, Ahmad Shabery berkata, dasar kerajaan adalah untuk melindungi kepentingan para petani serta mempertahankan sektor pengeluaran padi dan beras tempatan.

“Langkah ini diambil kerana beras adalah komoditi strategik dan merupakan makanan ruji kepada rakyat Malaysia,” jelasnya.