Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, TPPA tidak membenarkan mana-mana negara ahli mengenakan subsidi eksport kepada produk pertanian yang dieksport ke negara TPPA lain.

Kata beliau, disiplin tersebut akan mengelakkan negara TPPA menggunakan subsidi eksport yang boleh memanipulasi harga produk pertanian di pasaran glo­bal.

“Selain itu, dalam Perjanjian Pertanian di bawah Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) juga, negara anggota WTO telah digesa untuk menghapuskan subsidi eks­port bagi barangan pertanian,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Hasan Arifin (BN-Rompin) berhubung kesan TPPA kepada sektor pertanian negara ini kerana menerusi perjanjian berkenaan, produk AS akan menjadi sangat murah ekoran pemberian subsidi tinggi oleh sektor negara tersebut.

Sementara itu, Ahmad Shabery memberitahu, dalam TPPA, Malaysia telah berjaya mendapat pakej akses pasaran yang baik bagi produk pertanian.

Menurutnya, ini termasuk penghapusan duti ke atas komo­diti eksport bagi Malaysia seperti minyak kelapa sawit dan produk agro makanan serta makanan yang diproses.

Pada tahun lalu, tambahnya, Malaysia mengimport sebanyak RM52.3 bilion produk pertanian dari AS. Jumlah ini hanya mewa­kili 7.66 peratus daripada jumlah import produk pertanian negara.

“Negara-negara sumber import utama Malaysia adalah China yang mewakili 16.91 peratus daripada jumlah import negara dan diikuti oleh Singapura (12.55 peratus) dan Jepun (8.01 peratus),” katanya.