Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub berkata, persetujuan dibuat dan akan disyorkan bot-bot tersebut ditenggelamkan dan dijadikan tukun demi kepentingan negara.

“Itu sebagai tindakan wajar yang negara-negara lain mengambil tindakan sama,” katanya dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Datuk Halimah Mohamed Sadique (BN-Kota Tinggi) yang mahu Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani menyatakan adakah kementerian berhasrat meminda Akta Perikanan sedia ada bagi menangani pencerobohan nelayan-nelayan asing.

Salahuddin malah berkata, kementeriannya akan membentangkan Rang Undang-Undang Perikanan (Pindaan) 2019 bagi meminda Akta Perikanan 1985 dalam menangani masalah pencerobohan nelayan asing.

Pindaan itu termasuklah menaikkan denda maksimum di bawah Seksyen 25 Akta 317 bagi vesel penangkapan ikan asing yang menceroboh perairan Malaysia, iaitu daripada RM1 juta kepada RM6 juta bagi nakhoda dan bagi setiap anggota kru dari RM100,000 kepada RM600,000.

Bacaan kali pertama telah dilakukan hari ini dan bacaan kali kedua akan dibuat pada sesi Parlimen bulan ini.

Menteri itu juga menyatakan, bot-bot nelayan Vietnam merekodkan angka tertinggi menceroboh perairan negara sejak beberapa tahun lalu.

Jelasnya, tindakan melampau bot-bot nelayan asing itu khususnya dari Vietnam membuatkan kerajaan menerusi beberapa agensi melaksanakan Ops Naga untuk membasmi penceroboh.-UTUSAN ONLINE