RUU itu diluluskan selepas 32 Ahli Parlimen berbahas mengenai pindaan tersebut.

RUU ini mengandungi 12 fasal pindaan termasuk memasukkan subseksyen baharu iaitu subseksyen 11(3A) berhubung kesalahan mengendali, memiliki dan memasang peralatan menangkap ikan, peranti mengumpul ikan di laut lepas tanpa lesen yang merupakan suatu kesalahan.

Secara umumnya, RUU Perikanan (Pindaan) 2019 dicadangkan bagi meminda Akta Perikanan 1985 (Akta 317) dengan tujuan untuk menambahbaik peruntukan sedia ada terutamanya berhubung pelesenan penangkapan ikan bagi mengambil kira penangkapan ikan di laut lepas, meningkatkan kadar denda bagi kesalahan di bawah Akta 317 dan memberi kuasa kepada menteri menggubal peraturan berhubung dengan pemantauan, pengawalan dan pengawasan, di samping menjadikan perundangan perikanan ini selari dengan instrumen antarabangsa.

Selain itu, pindaan ke atas akta ini turut bertujuan untuk memantapkan lagi seksyen berkaitan dengan pengkompaunan, memperjelaskan lagi kuasa Ketua Pengarah Perikanan dan memasukkan peranan Pendakwa Raya dalam memutuskan kes-kes kompaun dan pendakwaan.

Sementara itu, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub ketika membuat penggulungan pindaan itu berkata, beliau mendengar perbahasan yang dikemukakan oleh kedua-dua wakil-wakil iaitu kerajaan dan pembangkang yang didapati membuat penyelidikan mengenai perkara ini.

“Saya rasa kita boleh berkongsi satu pandangan. Golongan ini perlu dikeluarkan dari garis kemiskinan. Itu tanggungjawab besar yang saya tetapkan. Walaupun hanya tiga aspek pindaan, tetapi ia dekat dengan hati kita semua,” katanya.

Salahuuddin berkata, hampir semua kawasan parlimen di negara ini memiliki nelayan untuk diperjuangkan bersama-sama. - UTUSAN ONLINE