Mereka yang layak akan menerimanya dengan kadar pemberian sebanyak RM500 seorang.

Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu berkata, Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM telah dipertanggungjawabkan untuk melaksanakan inisiatif ini dengan permohonan telah dibuka mulai 14 April lalu dan pembayaran pertama telah dilaksanakan pada 27 Mei yang lalu.

Katanya, pelaksanaan inisiatif ini adalah lebih bersasar dengan penerimanya adalah veteran ATM di dalam kategori isi rumah berpendapatan terendah B40.

“Pemberian ini merupakan penghargaan daripada kerajaan kepada veteran ATM atas kesetiaan dan pengorbanan mereka kepada negara serta menjaga kebajikan semua golongan veteran ATM,” katanya sewaktu sesi pertanyaan-pertanyaan lisan dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Tan Sri Annuar Musa (BN-Ketereh) mengenai langkah-langkah baharu untuk meningkatkan kebajikan bekas perajurit khususnya perajurit tidak berpencen. - UTUSAN ONLINE