Timbalan Menterinya, Dr. Lee Boon Chye berkata, ujian ini akan dilaksanakan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, Kedah dan Kelantan serta dijangka dimulakan pada bulan ini.

“Kementerian komited dalam usaha membanteras kanser serviks ini. Justeru, permohonan peruntukan telah dibuat untuk melaksanakan perkhidmatan ini secara berfasa sehinggalah ia menjadi polisi saringan utama bagi kanser serviks di peringkat kebangsaan,” katanya dalam sesi pertanyaaan-pertanyaan lisan dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Nurul Izzah Anwar (PH-Permatang Pauh) yang bertanyakan mengenai langkah kementerian mengukuhkan komitmen kewangan kepada usaha membasmi kanser serviks di negara ini melalui vaksin, teknologi baharu seperti point of care diagnostic dan program saringan kanser serviks HPV DNA yang mesra wanita.

Tambah Boon Chye, di Malaysia, kanser serviks merupakan kanser ketiga tertinggi dalam kalangan wanita dan ketujuh tertinggi di kalangan keseluruhan penduduk Malaysia.

Bagaimanapun, insiden ini telah meningkat kepada ASR 10.5 per 100,000 berbanding dengan ASR 6.5 per 100,000 dalam tahun 2011.

Pada masa ini, katanya, pap smear adalah ujian saringan yang disediakan di semua fasiliti kerajaan dan bukan kerajaan bagi pengesanan awal kanser serviks.

Namun begitu, kajian terkini menunjukkan bahawa jangkitan virus HPV berisiko tinggi adalah penyumbang kepada lebih 95 peratus penyebab kanser serviks.

”Justeru, bagi tujuan pengesanan awal yang juga merupakan langkah pencegahan sekunder, pelaksanaan saringan kanser serviks perlu diperluaskan kepada teknik ujian yang lebih efisien, malah yang lebih penting kaedah ujian yang memberi keselesaan dan autonomi kepada wanita.

”Wujudnya bukti yang kukuh untuk menyokong idea bahawa ujian saringan HPV mampu memberi impak yang positif dari sudut keupayaan untuk mengenalpasti virus penyebab penyakit kanser serviks bagi membolehkan intervensi selanjutnya dilakukan dalam mencegah kejadian kanser serviks,” ujarnya.-UTUSAN ONLINE