Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, sekiranya bantahan yang disampaikan terbukti benar, kerajaan akan mengambil tindakan susulan yang bersesuaian.

"Kita akan kaji pendapat mereka dan jika benar apa yang disangka oleh mereka maka kita akan ambil tindakan yang sesuai.

"Kalau dia boleh bagi memorandum kita baca," katanya dalam sidang akhbar di Lobi Parlimen di sini hari ini.

Kira-kira 300 nelayan berkumpul di hadapan Parlimen bagi menyampaikan bantahan terhadap projek tambak laut di selatan Pulau Pinang.

Projek tambak laut tersebut dijalankan bagi membentuk tiga buah pulau buatan di perairan selatan Pulau Pinang sekali gus membantu menjana pembangunan ekonomi negeri itu dan membiayai pelaksanaan Pelan Induk Pengangkutan (PIP) Pulau Pinang.

April lalu, projek itu mendapat kelulusan Majlis Perancangan Fizikal Negara (MPFN) yang dipengerusikan Dr. Mahathir manakala minggu lalu Jabatan Alam Sekitar (JAS) pula meluluskannya dengan 72 syarat. - UTUSAN ONLINE