Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, kajian tersebut adalah dengan melibatkan penyediaan sistem baharu yang menggunakan pengajaran melalui teknologi maklumat (IT).

Jelas Perdana Menteri, sistem baharu itu adalah pengajaran yang direkod oleh guru terbaik yang akan digunakan disemua sekolah.

“Ia supaya kecekapan guru yang terbaik dapat dinikmati semua murid dan penuntut, dengan cara ini, semua penuntut akan capai hasil yang hamir sama,” katanya sewaktu sesi pertanyaan-pertanyaan menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Dr. Mahathir menjawab soalan Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil (PH-Lembah Pantai) yang meminta Perdana Menteri menyatakan pendirian kerajaan terhadap PPSMI.

Sementara itu, tambah Perdana Menteri, Kementerian Pendidikan ketika ini juga sedang mengambil kira tahap penguasaan pengajaran dan pembelajaran dalam bahasa Inggeris ekoran bahasa tersebut telah menjadi bahasa antarabangsa dan diperlukan untuk pengurusan dan perusahaan selain diambil kira dalam peluang pekerjaan.

“Tidak seperti pelajaran geografi dan sejarah, ilmu sains bertambah sepanjang masa hasil kaji selidik pakar yang biasanya dibuat dalam bahasa bukan bahasa Melayu.

“Untuk menguasai ilmu baharu ini, penggunaan bahasa Inggeris menjadi penting, terjemahan kepada bahasa Melayu tidak dapat dibuat melainkan oleh mereka yang pakar dalam bahasa sains Melayu dan sains Inggeris dan faham ilmu baharu hendak dialih bahasa, sebaliknya jika seseorang itu fasih dalam bahasa sains Inggeris dia dapat akses secara langsung kepada ilmu-ilmu baharu ini,” katanya.- UTUSAN ONLINE