Penegasan itu disuarakan Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin yang turut mengatakan perkara tersebut penting apatah lagi tuduhan Guan Eng mengaitkan kerajaan terdahulu dengan aktiviti jenayah iaitu rompakan.

“Ya, pihak polis perlu (siasat). Saya dah pun berikan kenyataan sewaktu membuat laporan polis (dahulu).

“Apabila dah disahkan PAC, saya rasa pihak polis mesti mengambil tindakan susulan kerana (dakwaan) itu berkaitan satu jenayah, rompakan. Kalau tiada jenayah, pihak polis mesti sekurang-kurangnya mengeluarkan kenyataan berhubung isu ini,” katanya dalam sidang akhbar di lobi Parlimen, di sini hari ini.

Isu tunggakan bayaran balik GST berjumlah RM19.4 bilion itu menimbulkan kontroversi apabila Menteri Kewangan, Lim Guan Eng ketika sesi sidang Dewan Rakyat tahun lalu mendakwa wang tersebut 'dirompak' semasa kerajaan terdahulu sehingga perkara itu dibawa ke PAC.

Susulan dakwaan oleh Guan Eng itu, Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin telah membuat laporan polis pada 9 Ogos tahun lalu.

Pengerusi PAC, Datuk Dr. Noraini Ahmad dalam satu kenyataan hari ini mengesahkan kutipan GST bernilai RM19.4 bilion tidak hilang seperti yang didakwa Guan Eng sebelum ini.

Menurut Noraini, hasil GST yang tidak dipindahkan ke Kumpulan Wang Pembayaran Balik GST telah digunakan untuk tujuan membiayai perbelanjaan mengurus dan pembangunan. – UTUSAN ONLINE