Senator Tan Sri Mohd. Ali Mohd. Rustam berkata, kehebatan Melaka berdagang dari Timur ke Barat termasuk Eropah membuatkan pelabuhan Melaka terkenal dan menjadi rebutan ramai pihak ketika itu.

“Kita teruskan perdaga­ngan bebas ini sampai sekarang sehinggakan 13 perjanjian perdagangan bebas (FTA) telah kita tandatangani sebelum ini. Jadi apa masalahnya dengan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA).

“Jika mahu pertumbuhan ekonomi berkembang, kita tidak boleh seperti katak di bawah tempurung, kita perlu buat kawan,” katanya ketika membahaskan usul Malaysia menyertai TPPA di Dewan Negara di sini hari ini.

Menurut Mohd. Ali, jika Malaysia masih berfikiran sempit, tidak mustahil negara ini akan ketinggalan berbanding negara-negara lain khususnya dari Asia Tenggara.

Mengambil Vietnam sebagai contoh, beliau berkata, ramai pihak mula meletakkan rasa minat terhadap negara itu berbanding China kerana kos pengeluaran dan jualannya yang lebih murah.

“Jadi kalau kita masih berfikiran sempit dan bermain politik mengenai TPPA, saya percaya Vietnam akan jadi lebih maju dari kita,” ujarnya.

Dalam pada itu, Senator Tan Sri Dr. Ibrahim Shah Abu Shah berkata, mustahil kerajaan akan bersetuju de­ngan TPPA sekiranya terdapat dasar yang boleh menjejaskan kedaulatan negara.

Beliau berkata, TPPA sebaliknya jelas menunjukkan keadilan dalam perdagangan sehinggakan calon Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump sendiri menolaknya kerana tidak membolehkan negara itu memanipulasi wang.